PEMAIN Brazil sugul selepas tewas sepakan penalti.
AFP

Concepcion, Chile: Badi penalti Brazil tiba lagi dan kali ini, Paraguay menyingkirkan juara dunia lima kali itu daripada saingan Copa America yang dilabel sebagai kejutan kedua selepas edisi 2011.

Penyerang Derlis Gonzalez muncul wira Paraguay apabila menyempurnakan penalti pada babak kedua untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum dia sekali lagi menjalankan tugasnya pada perlawanan yang menyaksikan pasukannya menang 4-3 menerusi penentuan penalti.

Ia satu lagi kekalahan paling mengecewakan buat Brazil yang tunduk kepada musuh sama di peringkat serupa Copa America empat tahun lalu dan ironinya, mereka juga tewas menerusi penentuan penalti.

Impian Brazil untuk memadam catatan duka itu musnah apabila Everton Ribeiro dan Douglas Costa gagal menjaringkan gol sekali gus membuka ruang buat Paraguay.

Kapten Paraguay Roque Santa Cruz menghadirkan gerun buat pasukannya apabila dia yang mengambil sepakan keempat, gagal dalam usahanya dengan bola rembatannya melambung tinggi melepasi palang.

Tetapi Gonzalez, 21, yang sebelum itu menyempurnakan penalti pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan, tidak melakukan kesilapan dan memastikan rembatannya menerjah gawang untuk kemenangan Paraguay.

Paraguay akan menentang Argentina di separuh akhir dan ia boleh dianggap sebagai perlawanan ulangan pusingan pertama yang berkesudahan 2-2.

Ia satu lagi malapetaka buat Brazil yang hadir ke Chile dengan impian mahu menutup kekecewaan Piala Dunia selepas dibelasah 7-1 oleh Jerman di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 8:19 AM