Kuala Lumpur: Persatuan Pengiklanan Luar Malaysia (OAAM) menyasarkan 4 hingga 5 peratus pertumbuhan pendapatan bagi industri pengiklanan luar berbanding sasaran pertumbuhan tahun lalu didorong beberapa faktor termasuk perubahan garis panduan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree Outdoor Sdn Bhd, Jeff Cheah berkata, pertumbuhan industri dilihat semakin berkurangan akibat berdepan beberapa cabaran, sekali gus menjejaskan pendapatan industri secara keseluruhan.

“Antara cabaran utama perubahan garis panduan secara berterusan oleh pihak berkuasa tempatan. Perkara ini bukan sahaja merugikan OAAM, malah memberi impak negatif kepada sektor pengiklanan luar di Malaysia.

“Sehingga kini, tiada sebarang keseragaman dalam spesifikasi bagi sesebuah papan iklan. Selain itu, kerajaan negeri juga tidak merujuk dan berunding dengan pakar industri terhadap setiap pengubahsuaian yang dilakukan menyebabkan persatuan terpaksa melabur sejumlah angka besar bagi menanggung kerugian dialami,” katanya pada sesi pembentangan hala tuju pengiklanan luar, di sini, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:30 AM