CHOO Peen (kiri) dan anaknya Chee Wee diberikan bantuan kecemasan sejurus diselamatkan APMM. FOTO ihsan APMM
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Georgetown: Dua beranak yang juga nelayan diselamatkan APMM pada 5 petang semalam di 10 batu nautika barat daya Pulau Kendi, selepas terhanyut hampir 24 jam akibat bot mereka terbalik ekoran cuaca buruk pada 8 malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, mangsa, Ong Choo Peen, 54, yang berasal dari Kuala Kurau, Perak, keluar ke laut dengan menggunakan bot pukat hanyut kelas A bersama anaknya, Ong Chee Wee, 32, hanya mengalami cedera ringan dan mengharapkan bantuan dari bot atau kapal yang melalui kawasan berkenaan ketika bot mereka karam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 2, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sejurus menerima laporan dari Pusat Kawalan Trafik.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa dua orang nelayan ditemui terapung di 10 batu nautika barat daya Pulau Kendi yang oleh Kapal Dagang, MV Orkim Merit yang sedang melalui kawasan berkenaan menuju ke Melaka, jam 4.30 petang semalam.

Menurut beliau, mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada unit kesihatan Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan dan tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 12:46 PM