TUNKU Imran (kiri) menyampaikan pingat kepada Mae Chen.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun, kuartet renang acara 4x100 meter rampaian lelaki negara menerima khabar gembira apabila diumumkan sebagai pemenang pingat gangsa selepas pingat emas milik barisan perenang Indonesia ditarik semula.

Perenang Indonesia, Indra Gunawan didapati positif menggunakan bahan terlarang pada temasya ke-27 di Myanmar menyebabkan pingat emas yang dirangkul kuartet negara itu ditarik balik dan diberi kepada Singapura yang ketika itu berada di tempat kedua manakala perak menjadi milik Thailand.

Penarikan itu sekali gus membolehkan kuartet negara yang diwakili Tern Jian Han, Shuan Yap Kah Choon, Daniel Bego dan Lim Ching Hwang menerima pingat gangsa.

Pingat itu disampaikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar kepada Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chen pada satu majlis ringkas di MOM semalam.

Sementara itu Tunku Imran berkata, kelewatan terhadap pemberitahuan mengenai pingat itu adalah perkara biasa kerana ia perlu mengikut beberapa prosedur.

“Semua pihak sudah sedia maklum akan perkara itu dan ia bukanlah satu isu kerana pingat yang sepatutnya dimenangi dua tahun lalu baru dianugerahkan hari ini (semalam),” katanya.

Pingat gangsa yang diperoleh itu menjadikan kedudukan pingat keseluruhan yang dimenangi kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Myanmar ialah 159 keseluruhan dengan 43 emas, 38 perak dan 78 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 6:16 AM