HUSAIN (dua dari kanan) menyampaikan jersi kepada Hazudin.

Jasin: Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengalu-alukan penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di daerah itu pada 28 dan 29 November ini.

Yang Dipertua MPJ Hazudin Hashim berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran kejohanan itu kerana ia secara tidak langsung dapat mempromosi dan memberi publisiti buat daerah itu ke seluruh negara.

Katanya, pemilihan daerah itu sebagai sirkit keempat kejohanan tahun ini bertepatan dengan misi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu mempromosi Jasin sebagai lokasi sukan ekstrem.

“Di Jasin kami mempunyai banyak lokasi berkaitan eko pelancongan dan kawasan hutan yang luas serta sesuai untuk penganjuran sukan lasak.

“Malah, lokasi kami memang menjadi tumpuan penggemar sukan MTB dan pelbagai penganjuran kejohanan membabitkan peserta dalam dan luar negara sudah diadakan di daerah ini sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dan mesyuarat penganjuran Harian Metro MTB Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di MPJ, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Kejohanan Husain Jahit, Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Abdul Aziz, Pengurus Projek HM Abdul Kadir Hamza dan Ketua Biro HM Melaka Mohd Nur Asnawi Daud.

Hazudin berkata, berdasarkan penganjuran sukan MTB yang diadakan baru-baru ini, pihaknya mendapati ia memberi impak positif kepada peniaga dan penduduk sekitar.

Katanya, dengan kehadiran ribuan peserta ia mampu memberi peluang kepada pengusaha hotel dan homestay mendapat pelanggan lebih ramai.

“Pada kejohanan dianjurkan sebelum ini, banyak kedai dan stesen minyak kehabisan makanan dan minuman disebabkan kehadiran terlalu ramai orang,” katanya.

Beliau berkata, kesan positif menyebabkan pihaknya amat menyambut baik penganjuran kejohanan julung kali dianjurkan Harian Metro di daerah itu.

Justeru, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan menyediakan kemudahan logistik serta pelbagai keperluan lain diperlukan penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:03 AM