Oleh Ustaz Haslin Baharin

Pada hari raya Aidilfitri yang keberapakah yang disunatkan berpuasa? Adakah puasa sunat boleh disekalikan dengan puasa ganti?

ROSMAN, Jasin

Antara puasa yang digalakkan ialah enam hari dalam bulan Syawal. Kelebihannya juga terlalu banyak.

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan melanjutkan­nya dengan enam hari pada Syawal, maka itulah puasa seumur hidup.”(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Oleh kerana 1 Syawal adalah hari yang diharamkan berpuasa disebabkan hari itu adalah hari raya yang juga hari kegembiraan umat Islam. Maka bolehlah mula berpuasa pada 2 Syawal hingga 29 atau 30 Syawal yang dikenali sebagai puasa enam,

Ada pelbagai pandangan ulama dalam menentukan puasa sunat yang disekalikan dengan puasa wajib. Jika mahu menjauhi perselisihan pendapat, lakukan puasa yang wajib terlebih dulu lalu seterusnya melakukan puasa enam jika ada masa berbaki dalam bulan Syawal.

Boleh juga mengambil pendapat dengan melakukan yang wajib saja, pahala puasa sunat turut akan diberi ganjaran.

Pendapat yang lain dengan melakukan puasa enam Syawal dulu kerana masanya yang singkat. Diikuti dengan puasa wajib yang boleh diganti sepanjang tahun. Oleh itu bolehlah berpegang pada mana-mana pendapat yang anda mampu lakukan sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat Islam.

Semoga Allah SWT memberi ganjaran segala niat dan amalan yang bakal dilakukan. Wal­lahualam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 12:56 AM