Kuala Lumpur: Warga kota diingatkan agar lebih berwaspada kerana kes denggi dijangka akan meningkat kira-kira dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan dari Julai hingga September.

Ketua Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Zainal Abidin Abu Bakar berkata ini berdasarkan trend kes denggi pada tahun sebelumnya.

Dari Januari sehingga Jun 2014, kes denggi di Kuala Lumpur mencatat 3,803 kes, melonjak ke 7,185 kes dalam tempoh Julai hingga September.

Perkara yang sama turut berlaku pada 2013, apabila rekod pada bulan Januari sehingga Jun mencatat 1,065 kes melonjak ke 2,570 kes dalam tempoh Julai hingga September.

Sehubungan itu, kadar kes denggi sebanyak 3,492 kes setakat 25 Jun 2015 di ibu negara diramalkan boleh meningkat dua kali ganda pada tempoh tersebut.

Dr Zainal Abidin berkata, antara faktor yang mungkin mendorong peningkatan kes denggi pada tempoh tersebut berikutan musim lembap dan hujan yang kerap.

“Nyamuk hanya memerlukan sedikit air iaitu air sebesar duit syiling 20 Sen sahaja yang sama dengan sebesar satu sudu cawan teh untuk bertelur dan nyamuk Aedes mampu bertelur antara 80 hingga 100 biji.

“Telur Aedes mampu bertahan dalam persekitaran kering sehingga tempoh enam bulan dan akan mula menetas dan bertukar menjadi pulpa atau jentik-jentik sekiranya ada air,” katanya.

Dr Zainal Abidin berkata pihaknya telah mula menjalankan operasi mencegah nyamuk dengan lebih kerap dengan melakukan pengabutan secara besar-besaran dan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan di lebih 2,600 lokasi sekitar ibu kota semenjak Januari.

Katanya, operasi pemeriksaan juga lebih tertumpu di kawasan tapak binaan ekoran kawasan seperti ini dilihat lebih mudah terdedah kepada pembiakan nyamuk.

Dr Zainal Abidin berkata dari Januari sehingga 20 Jun, pihaknya memeriksa lebih 125 tapak dan 80 daripadanya adalah positif pembiakan nyamuk.

“Bagi premis tapak binaan yang dijumpai positif pembiakan akan diarahkan tutup selama dua minggu untuk mereka menjalankan aktiviti pembersihan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di sekitar tapak binaan mereka,” katanya.

Katanya, Kuala Lumpur merekodkan 18 kematian sehingga 25 Jun iaitu tiga kali ganda berbanding tahun lepas sebanyak enam kematian dalam tempoh yang sama.

Mengikut statistik daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang i-Dengue, dari 4 Jan sehingga 24 Jun, negeri Selangor meduduki tempat pertama dengan 5,630 kes denggi yang direkodkan; kedua Perak (5,630 kes); diikuti Johor (4,083); Kuala Lumpur (3,492); Pulau Pinang (2,662); Sabah (1,392); Pahang (1,217); Sarawak (1,187); Negeri Sembilan (958); Melaka (929); Kelantan (767); Terengganu (509); Kedah (461); Perlis (127); Putrajaya (90) dan Labuan (2).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Norhayati Abdullah berkata dalam mencegah wabak denggi ini daripada terus menular, pihaknya meningkatkan jumlah operasi pencegahan denggi yang dilakukan secara kerap dan berterusan oleh pasukan khas pencegahan denggi DBKL.

Katanya pihaknya melaksanakan pengabutan di lebih 30 kawasan yang menjadi keutamaan dalam tempoh sehari dan meletakkan ubat jentik-jentik di tempat strategik di sekitar 11 kawasan Parlimen di ibu kota.

“Kami berharap jumlah kes denggi pada tahun ini berkurangan daripada tahun lepas, kerana kami telah laksanakan banyak inisiatif dalam menangani perkara ini daripada merebak,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 3:10 PM