BAKAL pemilik perlu teliti kediaman sebelum membuat sebarang keputusan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proses pembelian rumah sama ada hartanah sekunder atau subsale akan menjadi mudah dan selamat jika mempunyai ilmu serta perancangan teliti sebelum membeli.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aliy Property Advisors Sdn Bhd, Mohd Ali Abdul Majis berkata, pembeli juga perlu mengetahui mengenai kepentingan dan hak mereka daripada semua aspek.

Beliau berkata, pembeli perlu menggunakan khidmat dan nasihat ejen atau perunding hartanah yang bertauliah serta peguam daripada proses awal pembelian supaya dapat menjaga kepentingan dan menyelamatkan pembeli daripada terperangkap dan ditipu.

“Sekiranya anda baru merancang pembelian rumah pertama pastikan kemampuan kewangan dan kesediaan anda untuk membeli rumah terbabit. Selain itu, cuba semak terlebih dahulu jumlah kelayakan pinjaman dengan berjumpa pihak bank atau institusi kewangan.

“Malah, kesilapan paling lazim dilakukan pembeli adalah mereka tidak membuat pemeriksaan ke atas hartanah kerana ia berkemungkinan boleh membabitkan kerugian atau kos baik pulih yang mahal,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, masyarakat sekarang sudah mula mempunyai kesedaran untuk membeli rumah, namun masih kurang pengetahuan dan tidak mengambil serius dalam pembelian atau pemilikan hartanah.

Mohd Ali berkata, perkara utama yang perlu dididik bukan sahaja kesedaran orang ramai dalam membeli hartanah, tetapi juga kesedaran kewangan kerana kebanyakan golongan Bumiputera masih lemah dan kritikal dalam perancangan kewangan.

“Saya melihat sendiri usaha kerajaan dan pelbagai pihak swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan usahawan hartanah termasuk saya sendiri, kami bersungguh-sungguh memberikan ilmu dan kesedaran kepada orang ramai terutamanya Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak kerajaan, berkuasa dan agensi yang terbabit juga perlu menyediakan platform bagi memberi kesedaran kepada pembeli mengenai undang-undang, proses dan hak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:57 AM