Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Saya menuntut dalam tahun ketiga jurusan ekonomi di sebuah universiti dan berasal dari keluarga yang sederhana. Bapa pesara kerajaan manakala ibu suri rumah. Keluarga saya agak besar.

Saya berkenalan dengan seorang jejaka yang menuntut di universiti sama. Dia berasal dari selatan tanah air. Pertemuan pertama dua tahun lalu kini menjadi satu perhubungan yang serius sehingga kami bersetuju mendirikan rumah tangga.

Persoalannya, adakah salah jika seorang pelajar yang masih belajar ingin berkahwin? Saya keliru kerana ibu bapa saya tidak membenarkan kami berkahwin jika masih belajar.

Sedangkan mereka sepatutnya merestui perkara itu bagi mengelak perkara tidak baik.

Saya anak sulung dalam keluarga dan faham masih ada tanggungjawab besar kepada keluarga.

Saya tidak mahu melukakan hati ibu bapa dan berkahwin tanpa restu mereka. Saya melihat ramai kawan yang berkahwin berjaya dalam pelajaran.

GADIS SERBA SALAH

Negeri Sembilan.

Terima kasih kerana sudi berkongsi rasa dan cerita. Sesungguhnya, perkongsian ini salah satu kaedah pengurangan konflik. Dr memahami apa yang adik alami.

Sememangnya tidak salah jika adik ingin berkahwin ketika menuntut kerana ia boleh mengelak daripada melakukan perkara tidak diingini, malah perkahwinan amat digalakkan dalam Islam.

Namun, untuk berkahwin tanpa restu ibu bapa hanya mengundang lebih banyak permasalahan dan konflik. Ibu bapa selalunya mempunyai harapan mereka terhadap anak, namun ia sering tidak berlaku seperti yang diinginkan.

Anak mempunyai keinginan yang ada kalanya tidak seiring dengan keinginan ibu bapa. Melihat perkara dari perspektif ibu bapa mungkin boleh membuatkan adik lebih memahami stuasi mereka.

Adik juga perlu berbincang dengan ibu bapa mengenai perkara ini. Jelaskan dengan berhikmah kepada mereka mengapa adik ingin berkahwin dan terangkan bahawa adik tidak akan mengabaikan pelajaran nanti.

Apatah lagi, adik sebagai anak sulung diharapkan dapat menggalas tanggungjawab menjaga keluarga. Tentunya ibu bapa adik tidak mahu adik gagal meneruskan pe­ngajian apabila sudah berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM