FARHOD menanduk bola di depan di gawang PKNS FC dalam Pertandingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penyerang import T-Team Farhod Tadjiev muncul wira pasukannya apabila mencatat hatrik selepas mengalahkan PKNS FC 3-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Bagaimanapun, PKNS FC terlebih dahulu menghasilkan jaringan apabila pemain import, Gonzalo Manuel Soto bijak menolak masuk hasil sepakan percuma Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-20.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain tuan rumah memperkemaskan asakan dan hasilnya Farhod menceriakan penonton apabila memperdaya penjaga gol Selangor PKNS, Mohd Norhaziq untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Skuad tuan rumah nyaris menambah jaringan lima minit seleas itu menerusi pemain tengah, Sadriddin Abdullaev namun sepakannya ditepis penjaga gol.

Pelawat memperolehi peluang keemasan untuk mendahului menerusi Patrick Ronaldinho namun dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Bersambung babak kedua The Titans bagaikan mendapat tonik baru apabila terus mengasak dan Farhod sekali lagi meledak dengan sepakan kencang dalam kotak penalti pada minit ke -52.

Berselang 16 minit kemudian Farhod menolak mudah hantaran Josip Milardovic untuk gol ketiganya pada minit ke-68.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 12:19 AM
Skip this ad x