RICCI kiri) layangkan kad merah kepada Cavani.
ISLA (tengah) jaring gol kemenangan Chile.
AP

Santiago: Harapan Chile memenangi Copa America di laman sendiri semakin cerah selepas menyingkirkan juara bertahan Uruguay 1-0 pada suku akhir, semalam.

Pertahanan Mauricio Isla menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 bagi mengemudi tuan rumah ke separuh akhir kejohanan negara Amerika Selatan itu, mencetus kegembiraan penonton tempatan dan seluruh negara.

Chile mendominasi perlawanan sejak mula dan Isla akhirnya memecah kebuntuan menerusi rembatan leret dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Jorge Valdivia, sekali gus membantu pasukannya layak ke separuh akhir kejohanan itu buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Chile akan bertemu pemenang perlawanan antara Bolivia dan Peru. Dua lagi pertembungan suku akhir menyaksikan Argentina menentang Colombia pagi esok dan Brazil berdepan Paraguay.

Uruguay, yang berusaha mara ke separuh akhir kali keenam berturut-turut, beraksi kurang seorang pemain sejak minit ke-63 selepas bintang serangan Edinson Cavani dilayangkan kad kuning kedua kerana menyiku pemain Chile, Gonzalo Jara yang terdahulu memegang punggungnya. Kad kuning pertamanya kerana membantah penjaga garisan pada minit ke-30.

Cavani tampil pada perlawanan itu berdepan masalah peribadi di Uruguay, yang mana bapanya ditahan selepas didakwa memandu ketika mabuk dan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

Uruguay hilang seorang lagi pemain pada minit ke-88 apabila pertahanan Jorge Fucile juga dibuang padang kerana kad kuning kedua. Pemain Uruguay membantah keras keputusan pengadil Brazil, Sandro Ricci dan seorang penjaga garisan dan perlawanan itu tertangguh hampir lima minit.

“Chile bermain baik dan mengalahkan lawan yang amat sukar,” kata jurulatih Chile, Jorge Sampaoli.

Chile tidak layak ke separuh akhir Copa America sejak kejohanan 1999 di Paraguay.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:38 AM