Orang ramai mengambil kesempatan mandi air saluran paip yang pecah ketika cuaca panas luar biasa melanda Karachi. - Foto AFP

Karachi: Jumlah korban cuaca panas yang melanda bandar raya ini meningkat melebihi 1,000 orang hari ini, dan pihak berkuasa menjangka lebih banyak kematian walaupun suhu sudah menurun.

"Jumlah kematian kini lebih 1,000 dan mungkin mencecah 1,500," kata Anwar Kazmi, jurucakap Yayasan Edhi iaitu pertubuhan kebajikan terbesar Pakistan.

Menurut angka yang dikumpul AFP daripada hospital seluruh bandar raya ini, jumlah kematian ialah 1,079 orang.

Hospital di Karachi sudah merawat hampir 80,000 orang yang mengalami kekurangan air dalam badan dan tidak sedarkan diri.

Agensi berita Associated Press (AP) melaporkan, Menteri Kesihatan wilayah Sindh, Jam Mehtab Hussain berkata masih ramai dimasukkan ke hospital akibat cuaca panas tetapi berkurangan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, suhu hari ini turun kepada 34 darjah selsius di Karachi yang paling teruk terjejas berbanding 45 darjah sejak Sabtu lalu hingga semalam.

Karachi ialah bandar utama wilayah Sindh.

Cuaca panas diburukkan lagi dengan bekalan elektrik di bandar raya berpenduduk 20 juta orang itu yang sering terputus, menjejaskan bekalan air dan pendingin hawa tidak dapat digunakan. Ramai yang mati ialah golongan tua dan penduduk miskin akibat kekeringan air dalam badan.- Agemsi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:15 PM