PEMAIN Malaysia raihkan gol pertama oleh Izwan Firdaus. FOTO FIH
Oleh Mohd Radzi Wahab

Antwerp: Malaysia menempah tiket ke suku akhir selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Ireland 4-2 dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Stadium KHC Dragons, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia menerajui Kumpulan B dengan enam mata dan mencerahkan peluang berada sekurang-kurangnya di tempat ketiga Kumpulan B, sekali gus mengelak daripada bertemu Australia yang juga pasukan nombor satu dunia.

Australia setakat ini mengungguli Kumpulan A.

Malaysia yang menewaskan China 3-2 dalam aksi pertama Ahad lalu mendahului pada minit ke-13 menerusi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin hasil set piece pukulan sudut penalti.

Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Ireland menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi gol padang

Peter Caruth yang tampannnya menewaskan penjaga gol Roslan Jamaluddin.

Malaysia kemudian memperoleh gol kedua pada minit ke-16 melalui pakar flik sudut penalti negara Muhamad Razie Rahim yang menewaskan penjaga gol Ireland David Harte.

Selang dua minit Ireland sekali lagi bangkit menerusi gol pukulan sudut penalti Shane O'Donoghue.

Sukri Mutalib kembali meletakkan Malaysia di depan hasil sudut penalti pada minit ke-37 sebelum Izwan Firdaus menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini dan juga gol keempat negara pada minit ke-55.

Skuad negara akan turun sekali lagi menentang pasukan tuan rumah, Belgium esok sebelum menamatkan kempen peringkat Kumpulan B dengan bertemu Britain, Ahad ini.

Gol Malaysia: (VIDEO FIH)





MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Marhan Jalil, Faizal Saari, Shahrun Nabil Abdullah, Sukri Mutalib, Firhan Ashari, Azlan Misron, Nabil Fikri Mohd Noor, Razie Rahim, Baljit Singh Charun, Tengku Ahmad Tajuddin

IRELAND: David Harte, John Jackson, Ronan Gromley, Eugene Magee, Peter Caruth, Kirk Shimmins, Shane O'Donoghue, Michael Darling, Kyle Good, Paul Gleghorne, Conor Haarte

Caption: PEMAIN Malaysia raihkan gol pertama oleh Izwan Firdaus. FOTO FIH

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:53 PM