Suami saya bekerja di selatan tanah air manakala saya menetap di ibu kota. Suami ha­nya pulang sebulan sekali. Malangnya saya sering datang haid setiap kali dia pulang.

Adakah saya boleh mengambil pil tahan haid supaya kami boleh bersama? Adakah wanita dibolehkan mengambil pil penahan haid dan pil perancang pada masa sama memandangkan kami merancang keluarga melalui pil perancang? Buat masa ini, kami sudah mempunyai sepasang cahaya mata.

Isteri bingung,

Kuala Lumpur.

Anda tidak menyatakan bilangan hari suami anda ada bersama anda setiap bulan. Dengan situasi anda yang sedang mengambil pil perancang, lebih mudah untuk doktor anda membantu masalah ini jika pil terbabit mempunyai jenis dua hormon berkombinasi.

Anda tidak perlu mengambil pil penahan haid. Berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan panduan mengubah suai cara pengambilan pil perancang berkenaan.

Doktor anda mungkin menasihatkan anda untuk menyambung pengambilan pil sehingga pada hari suami anda keluar semula berangkat ke selatan tanah air. Tempoh pemanjangan pengambilan ini perlu diteliti agar ia tidak mendatangkan kesan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM