Anyeonghaseyo! Kerancakan industri hiburan di Korea Selatan ketika ini membuatkan ramai yang cemburu.

Bukan saja bakat dari negara itu, malah dari luar negara turut mahu mencuba nasib menjadi peng­hibur di Korea Selatan.

Tambahan pula Visa Hiburan E-6 sudah diwujudkan di mana penghibur dari luar negara dialu-alukan untuk mengadakan persembahan sama ada di kelab, hotel atau bar.

Bukan sesuatu yang asing kerana menerusi ‘Impian Korea’ itu, seseorang itu mampu mengejar impian bahkan mendapat kehidupan lebih baik di sana.

Mungkin itu yang mulanya disangkakan, namun pendedahan beberapa warga asing penga­laman memberi jawapan bahawa ia tidak seindah diimpikan.

Setiap tahun, kira-kira 4,500 orang luar memasuki Korea Selatan berbekalkan visa berkenaan dengan impian dapat menjadi penghibur profesional di sana.

Bagaimanapun, kira-kira 70 peratus daripada mereka yang kebanyakannya wanita akhirnya menjadi mangsa penderaan dan hamba seks.

Seorang daripada pemegang visa itu, Tesse Aquino, 26, nekad meninggalkan Filipina demi mengejar impiannya menjadi penyanyi.

Ibu tunggal itu dijanjikan untuk menyanyi di kelab, namun ternyata bidang tugasnya bukan sekadar menghibur saja.

Dia dikerah bekerja selama 12 jam. Tesse dan rakan sekerjanya yang lain diminta berpakaian sing­kat serta perlu melayan pelanggan. Jika tidak mencapai kuota jualan seperti diminta majikan dalam satu malam, mereka bakal menghadapi hukuman denda potong gaji menyebabkan Tesse terpaksa juga melakukannya.

Membuka Ulzzang! minggu ini ialah percaturan penyanyi juga anggota kumpulan Kara iaitu Goo Hara untuk tampil solo nampaknya tidak ‘direstui’ peminat.

Malah, keputusannya itu dicemuh, ditertawa serta diperlekehkan.

Difahamkan, Goo Hara bakal membuat penampilan pertamanya sebagai artis solo Julai ini, namun agensinya belum mengesahkan perkara itu.

Apa yang pasti, dia kini menjadi bahan ketawa peminat, apa lagi kemampuannya terutama dalam nyanyian bukanlah sehebat mana.

Disebabkan itu, ‘netizen’ tidak ragu-ragu mencemuhnya serta memberikan komen sinis sebaik mengetahui berita itu.

Menurut mereka, Goo Hara hanya mampu menari dengan bagus tetapi tidak kalau membabitkan nyanyian.

“Dia sedang menggali kubur sendiri. Tak sabar mahu tengok bagaimana dia menyanyi,” kata satu komen.

“Adakah sejarah berulang kembali dalam industri hiburan di mana seorang penyanyi yang buta nada diberikan peluang menghasilkan album?” demikian antara komen peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 1:27 PM