GAMBAR Salwa berpakaian pengantin yang mencetuskan tanda tanya.
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


“Bukan niat saya hendak berahsia, tapi ada sebab tertentu untuk berdiam diri buat masa ini.”

Demikian pengakuan ringkas penyanyi dan pelakon Salwa Razak atau nama sebenarnya Salwa Md Razak, 30, mengenai desas-desus mendakwa dia sudah bernikah secara rahsia, baru-baru ini.

Salwa berkata, pendekatan terbaik ketika ini adalah berdiam diri mengenai teka-teki yang timbul itu.

“Lagi banyak saya bercakap atau komen, makin banyak spekulasi yang timbul nanti. Bukan saya tak nak cakap, tapi keadaan sekarang tak mengizinkan saya untuk berbuat demikian.

“Saya hormati dan memahami tugas media, tapi saya mohon sangat berilah saya masa. Insya-Allah nanti masa sesuai itu akan tiba dan saya akan buka mulut,” katanya kepada RAP.

Menyambung perbualan, penyanyi yang popular menerusi lagu Ahmad ini berkata, dia berasa tersepit untuk mengulas lanjut kerana perlu menjaga hati beberapa pihak.

“Ada sebab tertentu. Saya tidak berani mengatakan ya atau tidak (sudah bernikah) buat masa ini sebab alasannya terlalu peribadi.

“Saya tak kisah orang hendak fikir atau cakap apa pun ketika ini sebab yang penting saya tahu kebenarannya dan ada sebab untuk merahsiakan isu ini sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai tindakannya memuat naik gambarnya berpakaian pengantin di laman Facebook, Salwa berkata, dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang persepsi atau fitnah pada sesiapa pun.

“Memang saya ada muat naik gambar di Facebook tapi tak ada niat untuk mencetuskan tanda tanya. Ada sebab saya muat naik gambar dan ada sebab saya kunci mulut buat masa ini.

“Sekali lagi saya minta maaf tak dapat hendak jelaskan secara terperinci sekarang. Itu saja yang boleh saya cakap,” katanya.

Beralih pada perkembangan kerjaya, Salwa kini menjalani penggambaran drama Singgahsana Cinta untuk RTM.

“Selain penggambaran drama itu, saya sibuk dengan bisnes biskut raya. Sekarang saya sibuk siapkan biskut yang ditempah pelanggan.

“Alhamdulillah, banyak tempahan saya terima untuk Ramadan ini. Sebab itu saya terima tawaran lakonan tertentu saja. Aktiviti nyanyian pun saya tangguhkan dulu sebab bisnes ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 12:27 PM