GAMBAR fail menunjukkan tentera China meronda di Xinjiang.
Reuters

Beijing: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam keganasan terbaru di Xinjiang, wilayah barat China, lapor Radio Free Asia semalam.

Laporan itu memetik polis sebagai berkata, kejadian berlaku selepas sekumpulan lelaki yang didakwa etnik Uighur beragama Islam menyerang anggota keselamatan dengan pisau dan bom di satu sekatan jalan raya di Kashgar, bandar di selatan wilayah itu.

Beberapa anggota keselamatan terbunuh dalam kejadian itu sebelum polis bertindak balas dan menembak mati 15 suspek yang mereka dakwa pengganas.

Seorang saksi berkata, antara 18 dan 28 orang terbunuh, termasuk beberapa pejalan kaki.

Jumlah itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Pihak berkuasa Xinjiang dan jabatan keselamatan tidak menjawab panggilan telefon untuk mengesahkan kejadian itu.

Pihak berkuasa China selalunya mengulas peristiwa seumpama itu beberapa hari selepas kejadian.

Etnik Uighur, penduduk majoriti di Xinjiang sekian lama ditindas kerajaan China hingga mencetuskan keganasan dan menyebabkan ratusan terbunuh sejak beberapa tahun lalu.

Minggu lalu, media dan laman web kerajaan Xinjiang menyiarkan notis dan arahan melarang kakitangan kerajaan, anggota Parti Komunis, pelajar dan guru supaya tidak berpuasa sepanjang Ramadan.

Lebih buruk lagi, mereka turut menganjurkan festival arak beberapa hari sebelum Ramadan bermula dengan mempelawa penduduk Islam menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:36 AM