SEORANG wanita mengipas anaknya yang kepanasan ketika menanti giliran untuk mendapat rawatan di sebuah hospital di Karachi, semalam.

Karachi: Angka kematian akibat gelombang haba di selatan Pakistan meningkat kepada 780 orang semalam.

Bagaimanapun, cuaca panas yang melanda wilayah itu menunjukkan tanda-tanda perubahan, sekali gus membawa kelegaan kepada penduduk.

Suhu di Karachi, bandar terbesar Pakistan dan tempat kebanyakan kematian berlaku diramal turun hingga 38 darjah Celsius selepas ia mencecah 45 darjah Celsius beberapa hari lalu.

Tiupan angin juga beralih ke barat daya, membawa angin lebih sejuk ke bandar pelabuhan itu dari Laut Arab.

Pejabat Meteorologi Pakistan meramalkan hujan di bandar berkenaan, sekali gus menyebabkan suhu turun.

“Cuaca kini tidak berapa panas. Angka kematian berdasarkan laporan dan maklumat yang kami kumpul hingga pagi ini ialah 780,” kata pegawai kanan Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Pertubuhan kebajikan terbesar Pakistan, Yayasan Edhi berkata, rumah mayat mereka menerima lebih 600 mayat sejak Sabtu lalu.

“Kami berusaha keras bagi memastikan mayat berkenaan tidak reput sebelum dikebumikan,” kata jurucakap yayasan Anwar Kazmi.

Kebanyakan kematian di Karachi berlaku dalam kalangan penduduk miskin dan buruh yang bekerja di luar.

Keadaan itu mendorong ulama menggesa mereka yang berdepan risiko strok haba supaya tidak berpuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:32 AM