Santiago: Penyerang Uruguay, Edinson Cavani mungkin terlepas aksi suku akhir Copa America menentang Chile selepas bapanya terbabit dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kematian di Uruguay, kata jurulatih pasukan kebangsaan, Oscar Tabarez semalam.

Luis Cavani melanggar dan membunuh penunggang motosikal berusia 19 tahun kelmarin, menurut sumber perundangan di Uruguay.

Cavani yang memandu trak kepunyaan anak lelakinya itu ditahan polis di bandar Salto, menurut pegawai.

Sekalipun Tabarez menegaskan beliau dan skuadnya menyokong penuh penyerang itu, jurulatih itu tidak dapat mengesahkan tempat Cavani berdepan tuan rumah hari ini.

“Kami sudah bercakap dengannya memberikan sokongan kami, tapi masalah peribadi boleh mengusutkan fikirannya,” kata Tabarez.

“Dia terjejas seperti juga setiap orang yang mengalami situasi sama. Kami akan memberinya masa bertenang,” ujar Tabarez.

Cavani tidak menjelaskan sama ada dia akan kekal bersama skuad itu atau pulang ke negaranya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:50 AM