Putrajaya: Bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie akan menghabiskan waktu di penjara sepanjang Aidilfitri ini.

Hari ini, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atasnya kerana rasuah.

Hassan Basri, 61, yang gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan terhadap tujuh tuduhan rasuah, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusi Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki sebulat suara menolak rayuan Hassan Basri atas sabitannya selepas mendapati sabitan itu adalah wajar.

Mahkamah juga mengekalkan denda RM210,000 dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Hassan Basri berjaya dalam rayuannya bagi mengurangkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:34 PM