Kuala Lumpur: Tiga anggota polis, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan memeras ugut dan mencederakan dua warga Bangladesh minggu lalu.

Muhammad Shaffiq Haikal Janah, 24; Rozam Enddyza Ismail, 28; dan Mohammad Rafiuddeien Ahmad Ramlee, 25, didakwa bersama-sama memeras ugut Jasim Udin dan memaksanya menyerahkan RM3,500.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pondok polis Central Market, di Jalan Hang Kasturi dan di Public Bank, Jalan Tun H.S.Lee, Dang Wangi di sini, pukul 6.30 pagi, 16 Jun lepas.

Muhammad Shaffiq, Rozam Enddyza dan Mohammad Rafiuddeien juga mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan sama terhadap Ebrahim Sheikh supaya dia menyerahkan wang RM1,000 di pondok polis itu, 6.20 pagi pada tarikh sama.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan bersama-sama mencederakan Ebrahim di jari kaki kanannya di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan memeras ugut, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 untuk kesemua pertuduhan dan melarang mereka mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula.

Terdahulu, Peguam Muhamad Shafie Amir Hamzah, Mohd Amir Sharifuddin dan P Chandrasegaran yang mewakili ketiga-tiga anggota polis itu memohon dibenarkan ikat jamin rendah atas alasan semua tertuduh telah berkahwin dan menanggung keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa membantah permohonan peguam itu dan tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Kesemua mereka membayar wang jaminan itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:28 PM