KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengesahkan sama ada rakyat Malaysia turut ditahan pihak berkuasa India dalam kes cubaan menyeludup jongkong emas bernilai 17 crore rupee (RM9.94 juta) ke negara itu semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat berhubung penahanan berkenaan.

"Interpol belum memaklumkan kami," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, 45 penumpang pesawat AirAsia antara 56 suspek yang ditahan pihak berkuasa India di Lapangan Terbang Antarabangsa Visakhapatnam, Andhra Pradesh selepas mereka dikesan cuba menyeludup 62 kilogram jongkong emas, menurut akhbar Times of India.

Jongkong emas berkenaan ditemui tersembunyi bersama barangan elektronik penumpang daripada penerbangan dua pesawat syarikat berkenaan yang berlepas dari Kuala Lumpur.

Beberapa lagi jongkong emas turut ditemui dalam penerbangan Silk Air dari Singapura. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 4:29 PM