CALON SPM Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) id Kuantan mengulangkaji pelajaran berkumpulan menjelang hari peperiksaan. FOTO Halim Mat Ali

KUANTAN: Jabatan Pendidikan Pahang mengingatkan cuti peristiwa yang diumumkan kerajaan negeri tidak melibatkan calon dan petugas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri itu.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Pahang Razali Mohd berkata, kesemua calon akan menduduki peperiksaan berkenaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Sebanyak 23,323 calon peperiksaan dan 554 calon persendirian SPM serta 2,615 calon STPM akan menduduki peperiksaan yang dijadualkan di 260 pusat pemeriksaan seluruh Pahang, esok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, banyak ibu bapa serta calon menelefon jabatan bagi mengetahui berkenaan cuti peristiwa yang diumumkan itu, termasuk calon persendirian yang kurang jelas mengenainya.

Katanya, sebanyak 18 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh Pahang untuk menempatkan 554 calon persendirian.

Selain itu katanya, tujuh calon akan menduduki peperiksaan di hospital dengan empat daripadanya di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan manakala selebihnya di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Kerajaan Pahang mengumumkan cuti peristiwa esok, sebagai menghargai kemenangan pasukan Pahang menjuarai Piala Malaysia 2014, malam tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun berkata, semua pegawai dan guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM yang bermula Isnin hendaklah meneruskan tugas mereka seperti biasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 3:58 PM