Kimi Raikkonen dan Fernando Alonso cukup bertuah apabila terselamat daripada pelanggaran ngeri yang berlaku pada pusingan pertama ketika beraksi di Grand Prix Austria.

Kemalangan itu menyaksikan dua-dua kereta berada di atas satu sama lain selepas pemandu Finland itu hilang kawalan selepas selekoh kedua namun mereka dilihat keluar daripada kereta tanpa sebarang kecederaan.

Melihat keadaan kereta yang boleh menyebabkan kecederaan serius dan kedua-dua pelumba itu berjalan keluar dengan selamat, penganjur perlumbaan boleh menarik nafas lega ketika saingan pada malam Ahad lalu.

Dua pelumba itu bertembung pada pusingan pertama dengan kelajuan 130bsj sebelum kereta Alonso terbang di atas kereta Raikkonen yang cukup hampir dengan kepala pelumba Finland itu.

Pelumba McLaren dan Ferrari itu kemudiannya keluar daripada kereta masing-masing dengan selamat tanpa ada sebarang kecederaan. Siasatan terperinci sudah dijalankan untuk mencari punca namun mendapati mereka tidak bersalah.

Alonso yang muncul juara dua kali sejurus selepas kemalangan itu berkata: “Ia satu kejadian yang amat dahsyat dan menakutkan. Semuanya bermula dengan baik. Pada selekoh kedua, tayar Kimi berpusing. Kami memintasnya dan dia hilang kawalan seterusnya terbabas ke bahu kiri litar.

“Saya ketika itu berada di sebelah kiri. Ia berlaku dengan pantas. Saya melihat melalui cermin kereta dan keretanya berada di bawah kereta saya. Saya dengan pantas melompat keluar untuk melihat keadaannya sama ada selamat atau tidak. Mujur tiada apa yang berlaku kepadanya dan syukur kami selamat.

Berdasar­kan rakaman video, ia kelihatan seperti Raikkonen hilang kawalan selepas selekoh kedua mengelunsor ke bahagian kiri mengakibatkan berlakunya pelanggaran de­ngan Alonso.

Raikkonen yang muncul juara dunia 2007 berkata: “Saya berasa seperti tayar berpusing dan kemudiannya ke kiri dan ia adalah satu yang luar biasa dan sukar untuk menceritakan apa yang terjadi.”

Selepas kemalangan dahsyat berlaku ketika Grand Prix Jepun yang menyebabkan Jules Bianchi mengalami kecederaan teruk, semua yang berada di sana gembira melihat Alonso dan Raikkonen berjalan keluar daripada kerata dengan selamat.

Pelanggaran itu mengingatkan kembali mengenai bahayanya perlumbaan di kokpit terbuka.

Tiga tahun lalu Alonso terselamat daripada mengalami kecederaan serius apabila kereta yang dipandu pelumba Lotus Romain Grosjean tiba-tiba melayang di bahagian atas kepalanya ketika saingan Grand Prix Belgium baru bermula.

Berdasarkan rekod, beberapa siri pelanggaran ngeri berlaku antaranya Henry Surtees, anak kepada juara dunia 1964 John Surtees, terbunuh ketika berlumba dalam saingan Formula Dua pada 2009 apabila tayar pesaingnya Jack Clarke menghempap kepalanya.

FIA menjalankan kerjasama dengan Profesor Sid Watkins yang meninggal dunia pada 2012, berusaha keras dalam mencari jalan meningkatkan tahap keselamatan dalam F1 sejak kematian Ayrton Senna pada 1994.

Perdebatan berhubung tahap keselamatan dalam perlumbaan yang membabitkan kokpit terbuka muncul kembali dan hangat diperdebatkan selepas Bianchi terbabit dengan kemalangan dan satu laporan komprehensif yang diketuai oleh Ross Brawn, bekas prinsipal Ferrari mendapati bahawa ia tidak praktikal, tidak selamat atau perlu satu struktur khas untuk melindungi pelumba.

Christian Horner, prinsipal Red Bull berkata: “Saya fikir dia (Raik­konen) dilindungi dengan ciri keselamatan dari McLaren. Terdapat perlindungan yang lebih baik dan peraturan yang mana mereka melindungi dengan baik. Terima kasih kepada barisan panel yang melakukannya. Sesuatu yang menggembirakan apabila melihat pelumba berjalan keluar dengan selamat.

“Kemalangan yang dahsyat. Anda tidak pernah mahu menyaksikan kereta melayang dan berada di atas kereta pelumba lain. Saya gembira melihat mereka keluar dengan selamat,” kata Jenson Button.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 12:22 PM