YUSNISAH menunjukkan sentuhannya, tart nanas berkeju.
1. SEDIAKAN bahan A.
2. SEDIAKAN bahan B.
3. MASUKKAN semua bahan A kecuali tepung gandum ke dalam bekas adunan dan gaul rata.
4. TUANG tepung gandum sedikit demi sedikit dan pukul hingga menjadi doh.
5. BENTUKKAN doh menjadi bulat dan isikan dengan inti jem nanas.
6. SUSUN doh yang sudah diisi dengan jem nanas ke dalam cawan kertas.
7. SAPUKAN kuning telur di atas doh.
8. TABUR parutan keju cheddar.
9. BAKAR pada suhu 170 hingga 180 darjah Celsius selama 15 minit.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kebanyakan kita gemar menempah biskut raya berbanding menghasilkan sendiri di rumah dengan alasan kaedahnya yang remeh dan tiada masa menghasilkan pelbagai jenis kuih raya.

Namun, tidak kurang juga yang mahu mencuba menghasilkan biskut raya sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan. Justeru, tidak hairanlah jika ada yang sanggup mencari resipi biskut raya enak mengikut trend semasa dan menjadi kegemaran ramai secara dalam talian.

Tidak lokek berkongsi resipi, Pengusaha YMY Chocolicious & Crafts, Yusnisah Mohd Yusar berbesar hati menunjukkan langkah demi langkah menghasilkan tart nanas berkeju yang mudah dan ringkas.

Bagi menambah rasa lemak pada tart nanas, dia menggunakan sedikit minyak sapi dalam adunan.

“Semua bahan A yang dicampur ke dalam bekas adunan (kecuali tepung gandum) tidak perlu dipukul hingga kembang. Sebaliknya, gaul hingga sebati saja sebelum ditambah dengan tepung gandum sedikit demi sedikit.

“Pastikan doh diadun tidak lagi melekat pada tangan ketika ia diuli. Elak memasukkan tepung gandum secara berlebihan kerana dibimbangi doh menjadi keras dan merekah ketika dibakar,” katanya.

Lebih mudah dan pantas jika jem nanas dibentuk bulat terlebih dulu dengan berat kira-kira empat gram (g) setiap satu sebelum membuat adunan tart nanas.

Setiap jem nanas yang siap dibulatkan sesuai dijadikan inti bagi doh dengan berat 10g (dibentuk bulat) untuk memastikan setiap saiz tampak sama dan menarik.

Seeloknya, selepas doh yang siap diisi dengan inti jem nanas disapu dengan kuning telur, segera tabur keju cheddar bagi memastikannya kekal melekat apabila siap dibakar dan dihidangkan kepada tetamu.

Kuning telur yang disapu pada bahagian atas doh berfungsi seperti gam untuk membantu melekatkan taburan keju.

Panaskan ketuhar gelombang mikro sekurang-kurangnya lima minit lebih awal sebelum mula membakar bagi memastikan biskut yang dibakar masak dengan sekata.

Terima kasih: YMY Chocolicious & Crafts/facebook dan www.ymyon­linegallery.blogspot.com

BAHAN A

- 125g mentega

- 25g minyak sapi

- 25g keju parmesan

- 20g gula aising

- 30g susu tepung

- 20g tepung jagung

- 1 biji kuning telur

- 1 sudu teh esen vanila

- 210g tepung gandum

BAHAN B (INTI)

- Jem nanas

- Keju cheddar (diparut) sebagai hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 11:06 AM