Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: “Keputusan seri mungkin dianggap baik kerana beraksi di gelanggang lawan, tapi kami tetap rasa terkilan kerana pendahuluan yang kami cipta, musnah gara-gara kesilapan pada penghujung babak sekali gus membuatkan misi meraih tiga mata tidak kesampaian,” kata kapten Negeri Sembilan (NS) Matrix Rezal Zambery Yahya.

NS Matrix terus bergelut mencari kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan Sabah dalam perlawanan pertama pusingan kedua aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, malam kelmarin.

Jumaat lalu, skuad Hoben Jang Hoben tewas 1-3 kepada pasukan sama dalam perlawanan terakhir pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Menurut Rezal Zambery, dia terkilan apabila keupayaan mengimbangi kekuatan tuan rumah terutamanya di babak kedua gagal diteruskan hingga wisel penamat.

“Kesilapan di hujung permainan membolehkan Sabah bangkit menyamakan kedudukan. Hakikatnya, kami gagal membantu pasukan mencapai kemenangan dan saya akui tugas kami semakin mencabar ketika saingan liga sudah memasuki pusingan kedua.

“Kami perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kedudukan pasukan dalam carta liga tidak terus merosot,” katanya.

Tonggak berpengalaman itu berharap semangat rakan-rakannya tidak luntur sebaliknya terus berusaha meningkatkan prestasi pasukan sekali gus membantu kedudukan di dalam Liga Perdana.

Katanya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri beraksi di bulan puasa kerana ada empat perlawanan yang perlu diharungi sepanjang Ramadan.

“Secara peribadi, saya akan terus berusaha menggalas tanggungjawab diamanahkan dan akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan kerana pasukan tidak lagi boleh tercicir mata.

“Apapun, saya percaya rakan-rakan menyedari situasi pasukan ketika ini dan apa yang perlu dilakukan ialah memastikan kami menang pada aksi berikutnya,” katanya.

Rezal Zambery juga yakin, kehadiran pemain berpengalaman Azizi Mat Rose yang menjaringkan gol malam kelmarin serta Khyril Muhymeen Zambri dalam pasukan selepas pulih daripada kecederaan, mampu menguatkan lagi kekuatan pasukan.

“Kehadiran pemain berpengalaman ini diharap dapat membawa perubahan dalam mengharungi perlawanan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:07 AM