Lukman Sardi

Jakarta: Aktor terkenal Indonesia, Lukman Sardi secara terbuka mengisytiharkan dirinya murtad apabila mengumumkan dia memeluk agama Kristian.

Lukman, 43, yang popular dengan filem Laskar Pelangi membuat pengakuan berkenaan dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman YouTube pada 24 Mei lalu.

Video berkenaan menunjukkan Lukman yang berada di dalam sebuah gereja dan memberitahu dirinya keluar dari Islam dan memeluk agama Kristian.

“Saya berada di sini bukan kerana keinginan saya sendiri, tetapi Tuhan yang mahu saya berada di sini.

“Selama ini saya menghadapi banyak masalah sehingga berasa yakin untuk memeluk agama Kristian,” katanya.

Anak kepada pemain biola terkenal Indonesia, Idris Sardi sebelum ini berkahwin dengan seorang wanita Kristian yang dikenali sebagai Precillia Pulunggono.

Lukman bukanlah artis pertama Indonesia beragama Islam yang memilih untuk murtad dengan memeluk agama Kristian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:58 AM