PENJAGA gol Colombia David Ospina (kiri) kecewakan serangan Peru.
AP

Temuco, Chile: Peru mengikat Colombia 0-0 semalam untuk meraih tempat ke suku akhir Copa America.

Colombia turut layak selepas Brazil menewaskan Venezuela 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan C. Keputusan seri menyaksikan pasukan dikemudi James Rodriguez dan Radamel Falcao tersingkir pada pertandingan negara Amerika Selatan itu.

Brazil muncul juara kumpulan itu dengan enam mata, dua mata lebih berbanding Peru dan Colombia, yang mara sebagai satu daripada dua pasukan tangga ketiga terbaik daripada tiga kumpulan. Juara bertahan Uruguay satu lagi pasukan tangga ketiga yang mara.

Pada suku akhir, Peru akan bertemu Bolivia, Colombia menentang Argentina diketuai Lionel Messi, tuan rumah Chile berdepan Uruguay manakala Brazil bermain dengan Paraguay.

Ketika Colombia terselamat, Copa America berjaya mengelak kehilangan dua bintang hebat, Falcao dan Rodriguez. Neymar sudah tersingkir selepas digantung empat perlawanan kerana bergaduh dengan pemain Colombia.

Falcao dan Rodriguez beraksi hambar semalam, gagal mencipta kemenangan buat Colombia yang membolehkan mereka mara tanpa perlu menunggu keputusan lain.

“Apabila bermain teruk, anda menerima akibatnya,” ujar Rodriguez yang menyerlah bersama Colombia pada Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

“Kami beraksi teruk pada perlawanan pertama begitu juga hari ini, itulah sebabnya kami berdepan masalah. Jika kami mahu menang, kami perlu bekerja lebih keras.”

Colombia bermain agresif pada awalnya dan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol pada perlawanan di Stadium German Becker di Temuco.

“Kami sedar mereka tertekan, mereka terdesak mahukan kemenangan,” kata pertahanan Peru, Carlos Zambrano. “Ia memang sukar tapi sasarannya adalah untuk layak.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:32 AM