Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Walaupun belum sihat sepenuhnya kerana dikhuatiri suspek demam denggi, jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan tetap bersama anak buahnya menghadapi perlawanan sukar menentang pendahulu Liga Super, Pahang di Stadium Darul Makmur hari ini.

Azman tidak kelihatan sebaik tamat perlawanan di Shah Alam Sabtu lalu yang menyaksikan skuad The Cops dibelasah Pahang 3-5 dan ada pihak media beranggapan pengendali itu cuba melarikan diri daripada ditemuramah.

“Bukan saya marah atau kecewa hingga tidak mahu bertemu pihak media selepas perlawanan itu, sebenarnya saya baru keluar hospital, dekat seminggu di hospital.

“Kalau lihat pada perlawanan itu saya tak boleh berdiri lama sebab masih lemah. Doktor suruh saya rehat lagi, tapi saya engkar. Sepatutnya saya masih ditahan di wad tapi saya minta keluar. Saya akan buat rawatan susulan selepas pulang dari Kuantan,” katanya kepada Arena Metro.

Kini bekas penyerang kebangsaan itu tetap bersama pasukan di Kuantan untuk berdepan Pahang dan jika tumpas sekali lagi pasti sukar untuk mereka bersaing mencabar kejuaraan.

Azman berkata, beliau sudah mengenalpasti kelemahan pasukannya yang kini merosot ke tangga enam liga dan berharap mereka mampu mencipta kebangkitan di gelanggang lawan.

“Bertemu dengan Pahang sekali lagi, kami mahu buka buku baru. Saya mahu pemain bangkit, fokus dan mempamerkan semangat juang tinggi.

“Memang kelemahan ketara adalah kelalaian pemain yang menjadi punca kami melepaskan empat gol mudah. Saya mahu mereka fokus dan lebih berdisiplin,” katanya.

Azman membayangkan akan melakukan sedikit rombakan dalam pasukan khususnya di bahagian pertahanan namun tetap mengekalkan pertahanan tengah yang juga kapten Muslim Ahmad.

“Bagi saya Muslim masih lagi yang terbaik. Memang sukar kalau hanya harapkan Muslim seorang. Saya harap semua pemain saling membantu. Apa saja pertikaian terhadap Muslim, saya tetap berdiri di belakangnya,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 8:59 AM