Yahaya (kanan) menunjukan dua kereta mewah yang ditemui semula ketika sidang media mengenai kes kecurian kenderaan mewah di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. hari ini. FOTO Bernama

Petaling Jaya: Dua kereta mewah bernilai RM800,000, milik seorang ahli peniagaan yang dilaporkan dicuri di Taman Subang Height pada 19 Jun lalu, ditemui semula di hotel di Pandamaran, Klang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, kereta jenis Audi Q7 dan Bentley itu dijumpai di tingkat berlainan dalam premis yang sama dan ia dipercayai dilakukan oleh sindiket terancang.

"Kereta terbabit dijumpai di tingkat dua dan tiga dalam bangunan terbabit dan kami tidak menolak, sindiket ini mempunyai kumpulan yang bertanggungjawab untuk mencuri dan meletakkan kenderaan itu di sesuatu kawasan.

“Juga ada satu kumpulan lagi ditugaskan untuk melupuskan kenderaan seperti memasukkan kenderaan ke dalam kontena sebelum dieksport ke luar negara," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket itu untuk melarikan kedua-dua kereta terbabit, katanya suspek masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil tingkap bilik di tingkat bawah dan mengambil kunci kereta terbabit di bilik mangsa di tingkat dua dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa merakamkan imej dua suspek lelaki yang terlibat dalam kes curi dan polis percaya kes ini melibatkan lebih daripada empat orang suspek.

Menurutnya, kereta yang dilaporkan hilang itu berjaya dikesan melalui sistem kedudukan sejagat (GPS) yang dipasang di dalam kereta berkenaan kira-kira 6.30 pagi hari yang sama.

"Sepasukan anggota polis ditempatkan di bangunan terbabit dan hasil permantauan selama lima jam, sindiket terbabit seolah-olah sedar akan kehadiran anggota polis dan suspek tidak mengambil kereta itu.

“Kami mengambil keputusan membawa balik kereta terbabit pada 11.30 pagi pada hari yang sama ia dilaporkan hilang," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang kontraktor kerugian RM95,000 setelah dua buah keretanya iaitu jenis Chevrolet Cruze dan Suzuki Swift yang diletakkan di hadapan rumahnya di USJ 11, Subang Jaya dilarikan penjenayah.

"Penjenayah memecah masuk rumah mangsa dengan memotong mangga pintu jeriji dan masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci lalu mangambil kunci kereta terbabit.

“Mangsa menyedari kereta terbabit sudah tiada pada 7 pagi ini setelah mendapati pintu rumah utama telah terbuka luas," katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah rumah dan curi kenderaan. Sehingga kini, tiada tangkapan yang dibuat dan pihak polis masih menjalankan siasatan. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:09 PM
Skip this ad x