Zailan. FOTO NSTP
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norashikin Leman
am@hmetro.com


Banting: Lima lelaki memecah masuk pasar raya di Banting dan melarikan wang tunai kira-kira RM300,000, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi, pengawal keselamatan pasar raya itu diikat suspek yang bersenjatakan pemutar skru.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Zailan Tasir berkata, suspek yang dipercayai warga asing melarikan wang tunai itu dengan menebuk peti besi yang disimpan di dalam pejabat premis berkenaan.

Katanya, suspek masuk ke dalam pasar raya itu dengan memecahkan pintu belakang sebelum naik ke tingkat tiga yang menempatkan stor dan pejabat.

"Semua mereka melarikan diri selepas berjaya menebuk peti besi berkenaan dan polis dimaklumkan kejadian sebaik pengawal berjaya membuka ikatan pada tangannya.

"Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan, termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 3:43 PM