GAMBAR keadaan dalam bangunan Parlimen yang dihantar seorang ahli Parlimen melalui twitter. - Foto DND.com

Kabul: Seorang pengebom nekad Taliban meletupkan bom bersama dirinya di luar bangunan Parlimen Afghanistan disusuli kumpulan lelaki bersenjata menyerang bangunan itu dan bertempur dengan anggota keselamatan, sebentar tadi.

Wartawan Associated Press (AP) melaporkan mendengar tembakan hebat di luar bangunan serta melihat asap hitam di pintu masuk bangunan Parlimen manakala ambulans berkejar ke tempat kejadian.

Jurucakap polis Kabul, Ebadullah Karimi, berkata seorang pengebom nekad meletupkan dirinya di luar bangunan dan beberapa lelaki bersenjata berkubu dalam bangunan berhampiran Parlimen.

Setakat ini, semua anggota Parlimen yang berada dalam bangunan itu disahkan selamat.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, yang mengaku pihaknya bertanggungjawab melakukan serangan itu berkata: “Kami melancarkan serangan terhadap Parlimen ketika perhimpuan penting memperkenalkan menteri pertahanan baru Afghanistan,

Ahli Parlimen, Shukria Barekzai, berkata: "Letupan kuat menggegarkan bangunan dan memecahkan tingkap. Kami selamat.”

Pengunduran tentera asing membolehkan Taliban melancarkan serangan besar dan semalam, Taliban menawan Dasht-e-Archi di wilayahKunduz selepas Chardara, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 3:29 PM