Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melarang semua pihak termasuk media menyiarkan maklumat tidak berasas membabitkan kes dua pemandu Perodua Myvi yang dituduh memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian tiga beranak di Lebuhraya DUKE, sehingga kes itu selesai.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan mengeluarkan perintah itu dalam prosiding sebutan kes berkenaan.

Terdahulu, peguam pemerhati keluarga mangsa, Cantius Leo Camoens memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk melarang pihak tidak berkenaan daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab membabitkan kes berkenaan.

"Akaun Facebook bernama 'Belia Benci Yana Familia Myvi Club' memuat naik status di laman sosial itu menyatakan bahawa khabar angin kes yang dihadapi terhadap kedua-dua tertuduh sudah selesai secara aman dan tanpa pembabitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak mahkamah.

"Perkara ini mengejutkan dan menyakiti keluarga arwah," katanya.

Mengikut pertuduhan, pembantu pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 35, dan juruteknik komputer, Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya atau dengan kelajuan berbahaya kepada awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam, enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 2:23 PM