DR Hilmi turut melakukan pemeriksaan kesihatan.
DR Hilmi melancarkan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia bersama Dr Muhammad Radzi (tiga dari kiri) dan Ong (tiga dari kanan). 
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Masalah pencernaan boleh terjadi pada sesiapa saja dan menjejaskan semua aspek kehidupan kita. Gejala kesihatan penghadaman seperti pedih ulu hati, sakit perut, cirit-birit dan sembelit boleh memalukan, tidak menentu dan dalam kes kanser kolorektal, ia juga boleh menjadi gangguan.

Kanser kolorektal yang menyumbang 14.2 peratus daripada kanser lelaki menjadikannya kanser paling biasa dalam kalangan lelaki dan 10.1 peratus daripada kanser wanita menjadikannya kanser ketiga paling umum bagi wanita.

Mujur kira-kira 80 peratus daripada kes kanser boleh dirawat jika dikesan awal. Bagaimanapun, kebanyakan kes kanser di Malaysia dikesan pada peringkat ketiga yang menjadikan ia sukar disembuhkan.

Perkara ini mungkin disebabkan kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat mengenai pemeriksaan kanser atau kurang akses kepada kemudahan yang sedia ada di seluruh negara.

Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) yang menyedari ancaman berkenaan, melaksanakan pelbagai usaha untuk menekankan pendidikan kanser kolorektal, kesedaran dan saringan tetap menerusi pelbagai kempen termasuk menganjurkan sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2015, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ini selaras dengan misi DHM untuk membabitkan diri, mendidik dan memberi kuasa kepada semua rakyat Malaysia untuk membolehkan mereka mengurus dan menjaga kesihatan pencernaan mereka dengan penuh yakin, seterusnya mengurangkan kelaziman gang­guan kesihatan penghadaman di Malaysia.

“Kesihatan penghadaman penting bagi kesejahteraan diri. Mujurlah bagi kebanyakan orang, ia hanya memerlukan langkah pencegahan. Bertanggungjawab ke atas kesihatan penghadaman membantu memperbaiki keseluruhan kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan anda.

“Memikirkan perkara inilah mendorong kami menubuhkan DHM. DHM satu-satunya persatuan profesional di Malaysia yang memberi fokus merapatkan jurang di antara kami iaitu golongan profesional dengan masyarakat umum.

“Kanser kolorektum paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki, menimpa seorang daripada setiap tujuh penghidap kanser lelaki. Ia kanser ketiga paling lazim berlaku dalam kalangan wanita, menimpa seorang daripada setiap 10 pesakit kanser wanita,” katanya.

Namun katanya, pengesanan awal bermakna empat daripada lima kes kanser dapat dirawat. DHM berhasrat memainkan peranannya dengan menggalakkan lebih ramai orang mendapatkan saringan manakala kit ujian najis secara percuma diedarkan kepada orang ramai di pameran bergerak Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyifatkan ramai rakyat Malaysia masa kini cuai kerana mengabaikan kesihatan penghadaman mereka.

Walaupun ia mungkin tidak menyebabkan penyakit yang lebih serius selain daripada gangguan penghadaman yang menyulitkan, dalam kes kanser kolorektum, ia boleh mengancam nyawa.

Beliau menegaskan, menurut statistik Kementerian Kesihatan yang dikumpulkan pada 2013, penyakit sistem penghadaman masih kekal sebagai penyebab utama kelima kemasukan ke hospital dan penyebab utama keenam kematian di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Nampaknya seolah-olah gangguan pencernaan menjadi lebih ketara iaitu daripada masalah penghadaman yang kurang serius seperti gastrik, pedih hulu hati, sakit perut dan sindrom usus mudah rengsa (IBS) kepada gangguan yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

“Tahap kesedaran yang rendah, ditambah pula dengan kekurangan maklumat yang mencukupi bermakna penting bagi kementerian ini meneruskan usaha mendidik orang ramai supaya lebih memahami kesihatan pencernaan dan mengetahui lebih lanjut mengenai cara mereka boleh memperbaikinya,” katanya.

Timbalan Pengurus Besar Malaysia Milk Sdn Bhd (MMSB), Michael Ong turut mengesahkan komitmen syarikat itu terhadap matlamat DHM.

“Kami dapati perlunya pembabitan korporat yang lebih baik dalam menyumbang kembali kepada masyarakat. Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana dapat bergabung dengan pakar dalam bidang ini dengan membantu meningkatkan kesedaran dan menambah pemahaman umum terhadap kesihatan penghadaman kepada semua. Kami berharap agar lebih ramai orang mendapat manfaat melalui inisiatif seumpama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 12:19 PM