Berlin: Seorang wanita yang berang selepas digigit kucing menyerang dan menggigit teman lelakinya, pemilik kucing berkenaan, berulang kali.

Seorang jurucakap polis berkata, wanita berusia 26 tahun itu digigit kucing kekasihnya di Hagen, bandar di barat Jerman pada awal Sabtu lalu.

“Selepas gagal mendisiplinkan kucing berkenaan, pertengkaran berlaku antara wanita itu dengan kekasihnya. Lelaki berusia 39 tahun itu dipukul dan digigit berulang kali,” kata jurucakap itu.

Lelaki yang cedera itu cuba menelefon polis, tetapi wanita itu merampas telefon bimbitnya, menyebabkan dia terpaksa melarikan diri dan membuat panggilan kecemasan.

Dia dihantar ke hospital untuk dirawat sementara teman wanitanya yang berdepan dengan tuduhan keganasan domestik dilarang pergi ke kediaman kekasihnya selama 10 hari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:35 AM