DOKTOR merawat luka seorang kanak-kanak yang cedera akibat letupan mortar ketika pertempuran antara pejuang Sunni dengan pemberontak Houthi di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.
Agensi

Sanaa: Serangan udara yang diketuai Arab Saudi lewat kelmarin meragut 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain di seluruh Yaman.

Agensi berita Saba yang dikuasai pemberontak negara itu melaporkan, antara yang terbunuh ialah lima wanita dan dua kanak-kanak.

Mereka sebahagian daripada yang terkorban dalam serangan di wilayah Saada dan Marib.

Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan terhadap pemberontak Houthi dan unit tentera Yaman yang bersekutu dengan mereka sejak 26 Mac lalu dalam usaha untuk mengembalikan kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.

Abed Rabbo yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi disingkirkan selepas Houthi menawan Sanaa dan sebahagian kawasan di selatan negara itu.

Kumpulan pemberontak itu bersekutu dengan bekas Presiden Ali Abdallah Saleh yang masih mendapat sokongan sebahagian besar tentera.

Rundingan damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva antara kumpulan yang bertentangan di Yaman berakhir tanpa sebarang persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata Sabtu lalu.

Menurut PBB, 2,800 penduduk Yaman terbunuh sejak 26 Mac lalu dan 21 juta atau 80 peratus penduduk negara itu kini amat memerlukan bantuan atau perlindungan atau kedua-duanya.

Beberapa siri pengeboman yang didakwa dilakukan Negara Islam (IS) memburukkan lagi konflik itu.

Kumpulan berkenaan kelmarin mengaku bertanggungjawab meletupkan bom kereta berhampiran Masjid Qiba al-Mahdi di Sanaa.

Serangan itu menyebabkan dua terbunuh dan enam yang lain cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:33 AM