Yang Xiaoyun (tengah) membeli lebih 100 anjing di pasar di Yulin, Sabtu lalu, menyelamatkan haiwan itu daripada menjadi makanan. - Foto AFP

Yulin (China): Seorang wanita membelanjakan lebih RM30,000 untuk menyelamatkan 100 anjing daripada menjadi makanan ketika festival daging anjing yang diadakan setiap tahun.

Yang Xiaoyun, 65, menyimpan sehingga 50,000 yuan dan membuat perjalanan sejauh lebih 2,000 kilometer dari rumahnya di Tianjin ke Yulin bagi menyelamatkan anjing ketika festival berkenaan bermula Sabtu lalu.

Menurut People's Daily Online, yang bercadang menempatkan anjing yang diselamatkannya itu di Tianjin.

Yulin mengadakan festival daging anjing setiap tahun sejak 2010 yang mendapat bantahan keras aktivis haiwan.

Setiap tahun, sehingga 10,000 dibawa ke Yulin di wilayah Guangxi menjelang festival itu dan banyak yang mati ketika dalam perjalanan akibat kelaparan, kekurangan air dan sebab lain. Aktivis haiwan mendakwa anjing yang terselamat dipukul atau dikelar leher untuk dilapah.

Ramai aktivis mengadakan demonstrasi bantahan di bandar ini setiap tahun aktivis dan mereka yang mampu, membeli anjing yang bakal dibunuh.

Menurut penduduk tempatan, anjing terbabit dan kadang-kadang kucing, dibunuh dengan cara yang tidak kejam. Haiwan terbabit biasanya dicuri atau berkeliaran.

Tahun lalu, Yang membelanjakan 150,000 yuan (RM90,000) bagi menyelamatkan 360 anjing dan puluhan kucing daripada menjadi korban festival itu.

Lulusan universiti itu mula berkempen menyelamatkan anjing pada 1995 selepas kematian suami dan sudah menyelamatkan hampir 3,000 anjing, termasuk yang berkeliaran.

“Saya mahu mewujudkan pusat penjagaan anjing dan restoran sayuran di Yulin. saya harap penduduk di sana dapat menerima restoran itu dan belajar menyayangi anjing,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 9:16 PM