Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony, Mawit Martin, 45, dibenar keluar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Mawit sebelum itu menerima rawatan selama dua hari di hospital itu sejak Jumaat lalu kerana kecederaan di paha kanan akibat terkena tembakan.

Difahamkan, Mawit yang diiringi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus dibawa ke Kuantan bagi membantu siasatan kes rampasan kapal itu.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 8.57 malam, 11 Jun lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Ia berjaya ditemui dengan semua 22 kru kapal dibebaskan kira-kira 2.30 pagi Jumaat, menerusi rundingan Tentera Laut Diraha Malaysia (TLDM) dengan perampas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 2:37 PM