Oleh Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


Port Dickson: Pemandu lori berusia 35 tahun maut ditetak seorang lelaki selepas bergaduh di depan bengkel motosikal di Bukit Pelandok, di sini, malam tadi.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, A Suthagar dikatakan bergaduh dengan seorang lelaki sebelum ditetak dengan parang.

Katanya, mangsa yang parah akibat tetakan di badan pada awalnya masih sedarkan diri namun meninggal dunia pada 10.45 malam ketika dirawat di Hospital Port Dickson, di sini.

"Mangsa sebelum ini difahamkan diugut bunuh oleh seseorang dan pernah membuat laporan di Balai Polis Bukit Pelandok, di sini.

"Ternyata malam tadi, ugutan itu menjadi kenyataan apabila mangsa ditetak sehingga maut," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Zulkifli Adamsah mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 4:31 PM