Dylann Storm Roof diiring keluar dari Balai Polis Shelby, Carolina Utara, untuk diterbangkan ke Charleston, petang tadi. - Foto AP

Charleston (Carolina Selatan): Gabenor Carolina Selatan berkata, lelaki kulit putih yang menembak mati sembilan orang kulit hitam dalam gereja di sini, semalam, wajar dihukum mati.

“Kami mahukan dia dikenakan hukuman mati,” kata gabenor itu, Nikki Haley, kepada NBC.

Penjenayah itu, Dylann Storm Roof, 21, menghadapi sembilan tuduhan membunuh dan dijangka dihadapkan ke mahkamah

Pihak berkuasa menyatakan lelaki itu mengaku kepada penyiasat melakukan pembunuhan terbabit kerana mahu memulakan perang perkauman.

Bapa saudaranya, Carson Cowles, yang mencemuh jenayah dilakukan anak saudaranya itu berkata kepada Washington Post: “Jika mereka mengenakan hukuman mati terhadapnya, saya sendiri akan menekan butang jika dibenarkan.

"Kini seluruh dunia memandang serong kepada kami, kepada keluarganya yang membesarkan raksasa ini. Ibunya tidak membesarkannya utntuk menjadi seperti ini.”

Roof ditahan kira-kira 12 jam selepas kejadian di satu sekatan jalan raya di Shelby, Carolina Utara, kira-kira empat jam perjalanan dengan kereta dari tempat kejadian.

Dia diterbangkan ke Carolina Selatan hari ini untuk proses soal siasat dan dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:45 PM