NUR Fitri Azmeer Nordin

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan Britain telah membenarkan proses ekstradisi untuk membawa pulang penuntut tajaannya, Nur Fitri Azmeer Nordin, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan maklumat terbaru, penuntut itu telah memperoleh kebenaran untuk diekstradisi ke negara ini.

"Mara sedang berurusan dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin bagi proses ekstradisi itu.

"Kami dapat maklumat yang dia dah dapat kelayakan untuk mohon diekstradisi tapi masih ada proses tertentu termasuk yang melibatkan kedutaan kita," katanya pada pemberita di sini, hari ini.

Nur Fitri Azmeer, 23, didapati bersalah oleh mahkamah di London terhadap 17 kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya setelah ditangkap polis pada 20 November 2014.

Annuar berkata, Mara membantu Nur Fitri Azmeer atas sifat kemanusiaan dan dia adalah pelajar tajaan pihaknya.

Sementara itu, Annuar berkata, pelajar tajaan MARA di Korea Selatan dinasihatkan berhubung rapat dengan Wisma Putra melalui kedutaan Malaysia di sana, sekiranya menghadapi sebarang masalah berhubung penularan Sindrom Pernafasan Koronavirus Asia Barat (MERS-COV), yang menyebabkan kematian 23 orang di negara itu.

"Kami (MARA) buat pemantauan rapi. Kami hantar 'reminder' apa yang perlu pelajar kita lakukan. Setakat ni tidak ada insiden yang melibatkan pelajar kita," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 7:09 PM