DALAM keseronokan membeli juadah berbuka ada terlupa tujuan utama rukun Islam ketiga.

Kehadiran Ramadan sememangnya dinanti-nantikan semua umat Islam. Selain dapat menjalani ibadah, ia detik ditunggu-tunggu untuk bersama-sama menunaikan kewajipan berpuasa dan berbuka dengan meriah. Anak muda terutama pelajar universiti dan orang muda yang bekerja jauh dari keluarga akan bersemangat me­nyambutnya dan berbuka puasa bersama-sama rakan.

Namun, dalam keseronokan membeli juadah dan berbuka puasa, ada kalanya kita terlupa tujuan utama berpuasa dan kesannya buka saja kepada pahala amalan yang dibuat malah juga kewangan kita.

Gen Y mengajak rakan-rakan bersederhana dengan mengamalkan tip berjimat ketika Ramadan.

Ingat tujuan ibadah

Apabila memulakan ibadah puasa, tanamkan dalam diri tujuan sebenar kita berpuasa. Ingatkan diri selalu mengenai tujuan itu apabila terdetik di dalam fikiran untuk melayan nafsu merasa dan membeli pelbagai juadah. Apabila fikiran dan pendirian ditetapkan, kita lebih berupaya untuk mengawal perbuatan kita.

Pilih makanan yang betul

Apabila bersahur atau berbuka, memilih makanan yang betul boleh membuatkan kita tidak terlalu lapar dan berhasrat makan pelbagai makanan apabila berbuka nanti. Pilih makanan yang tinggi protein, karbohidrat, kalsium dan tinggi serat.

Buah epal hijau, oat, kekacang, telur dan susu mengambil lebih masa untuk dihadamkan malah seratnya memenuhi ­perut lebih lama. Jadi kita tidak akan terlalu lapar dan menginginkan pelbagai makanan untuk dibeli nanti.

Masak sendiri

Jika kita mempunyai rakan serumah, agak baik untuk membeli bahan mentah dan masak sendiri. Masak sendiri lebih jimat dan tahan lama jadi juadah sama boleh dimakan untuk bersahur pada waktu pagi nanti. Namun, jika hanya berbuka seorang, lebih jimat jika beli saja juadah di luar namun pastikan ia tidak berlebihan.

Berbuka di surau atau masjid

Manfaatkan majlis berbuka dan sahur anjuran surau dan masjid berdekatan rumah kita. Tidak perlu segan berbuka di rumah ibadat ini kerana ia program yang biasa dibuat setiap Ramadan.

Selain berjimat, bolehlah kita terus solat berjemaah sekali. Inilah peluang terbaik untuk kita menggandakan pahala di bulan mulia ini.

Jangan bawa duit lebih

Apabila berada di pasar atau kedai makan, jangan bawa duit berlebihan kerana ia menggalakkan kita membelanjakannya dan jika silap gaya boleh menjadi boros. Bawa cukup-cukup saja untuk membeli makanan yang cukup sekadar mengisi perut.

Rancang perbelanjaan

Rancang perbelanjaan kita sepanjang Ramadan. Pastikan kita tahu berapa peruntukan untuk makanan berbuka puasa. Apabila kita mempunyai belanjawan mengikut kemampuan kita, kita mempunyai panduan tidak mudah tersasar dengan mengikut rancangan dibuat. Jadi tidaklah kita terlebih pakai duit untuk membeli makanan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 1:47 PM