Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) adalah kesinambungan daripada PPPM 2013-2025 dan dibangunkan secara inklusif serta komprehensif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia membabitkan 10,500 individu termasuk 100 pemegang amanah, 30 pakar serta penasihat tempatan juga antarabangsa dalam pelbagai bidang.

"Penggubalan pelan pendidikan ini juga berpandukan laporan kajian dilaksanakan agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Di peringkat pendidikan tinggi, langkah diambil untuk menjayakan PPPM (PT) bagi melahirkan graduan holistik membabitkan pelaksanaan sistem Integrasi Purata Nilai Gred Kumulatif.

"Melaluinya, bukan pencapaian akademik saja diukur malah ia membabitkan kemahiran sosial serta komunikasi," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Idris, bagi amalan profesional, pihaknya turut menjemput pensyarah dari luar negara selain memperkenalkan program CEO@Faculty bagi perkongsian pengalaman tokoh korporat seperti Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Pada masa sama, Idris berkata, langkah lain turut diambil ialah memberi autonomi kepada majoriti universiti awam dalam beberapa bidang terpilih seperti tadbir urus, proses perolehan serta penawaran kursus.

"Ketua Pengarah UNESCO Dr Irina Bokova turut mengiktiraf pelan pendidikan ini dengan mengatakannya sebagai mampu menjadi penanda aras kepada transformasi pendidikan di rantau Asia serta dijadikan contoh oleh negara lain.

"Ia membuktikan hala tuju pendidikan negara berada di landasan betul daripada peringkat pra sekolah hingga ke peringkat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 3:57 PM