Anggota polis di depan Gereja Emanuel AME mengumpul bukti selepas seorang lelaki melepaskan tembakan membunuh sembilan orang pagi tadi. - Foto AP

Charleston (Carolina Selatan): Seorang lelaki kulit putih melepaskan tembakan dalam gereja Afrika-Amerika menyebabkan sembilan terbunuh, malam tadi, kejadian yang dianggap polis sebagai jenayah perkauman.

Polis menggambarkan suspek sebagai lelaki berusia 21 tahun, memakai kemeja T, seluar jeans dan but sedang diburu.

Ketua Polis Charleston, Gregory Mullen, berkata lpan mangsa ditemui mati dalam gereja manakala mangsa kesembilan mati di hospital dan seorang lagi sedang dirawat kerana cedea.

"Sukar untuk membayangkan dalam suasana kehidupan sekarang, seseorang berjalan masuk ke dalam gereja ketika orang ramai sedang bersembahyang dan membunuh mereka,” katanya.

Identiti mangsa yang terbunuh belum diketahui tetapi paderi Al Sharpton - pemimpin hak asasi di New York - melalui Twitter berkata, paderi Clementa Pinckney yang menguruskan gereja itu dan seorang anggota senat negeri antara yang maut.

Tembakan itu berlaku kira-kira jam 9 malam waktu tempatan (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia) dan selepas itu, polis menerima panggilan telefon ancaman bom berhampiran gereja berkenaan tetapi pemeriksaan tidak menemui sebarang ancaman. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 3:09 PM