FALCAO (kiri) tidak menyerlah bersama United.

Santiago: Pemain sayap Chelsea dan Colombia, Juan Cuadrado membayangkan urusan perpindahan penyerang Radamel Falcao ke kelab juara Inggeris, Chelsea sudah selesai.

Falcao, kapten pasukan kebangsaan pada Copa America di Chile, meninggalkan Manchester United selepas musim mengecewakan beraksi secara pinjaman dari AS Monaco.

Media Britain melaporkan Chelsea semakin hampir bersetuju dengan penyerang itu untuk meminjamnya selama semusim.

Cuadrado mengejutkan wartawan pada sidang akhbar apabila berkata: “Penting memiliki rakan sepasukan sepertinya di kelab tapi kini saya menumpukan kepada Copa America dan kita akan bercakap mengenainya selepas ini.”

“Katakan anda gembira,” sampuk jurulatih Jose Pekerman, yang berada di samping Cuadrado sebelum menjelaskan: “Saya pasti mereka akan membantu antara satu sama lain dan melakukan yang terbaik.”

United menegaskan mereka tidak akan membeli Falcao dari Monaco.

Penyerang itu, yang menjaringkan empat gol dalam 29 perlawanan buat United, menyertai kelab Liga Perdana itu setahun lalu sesudah terlepas aksi Piala Dunia berikutan pembedahan ligamen lutut pada Januari 2014. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 10:37 AM