Keadaan lori dipandu dan mangsa yang maut (gambar kecil). FOTO Asrizal Aris
Oleh Asrizal Aris
am@hmetro.com.my

Kampar : Pemandu lori maut, kelindannya cedera apabila lori yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori lain dalam kejadian di Kilometer 291 Lebuhraya PLUS arah selatan 1.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Norisham Shaari, 33, berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa memandu lori membawa muatan barangan elektrik dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

"Setibanya di tempat kejadian lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa buah-buahan.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut manakala kelindan lori turut dibawa ke hospital sama untuk dirawat.

"Pemandu dan kelindan sebuah lagi lori tidak cedera.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 10:33 AM