PENYOKONG Pahang bersorak selepas Pahang yang juga juara bertahan muncul juara Piala Malaysia 2014 menumpaskan Johor DT, di Stadium Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pahang membuktikan kehebatan apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam perlawanan final yang berlarutan sehinga 120 minit.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain selama hampir sejam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Tok Gajah mempamerkan semangat juang tinggi untuk melakar kejayaan dengan Hafiz Kamal menyudahkan sepakan penalti kemenangan selepas sepakan penyerang Harimau Selatan Norshahrul Idlan Talaha diselamatkan Khairul Azhan Khalid.

Disaksikan 90,000 penyokong, segalanya bermula baik buat juara bertahan Pahang apabila berjaya mendahului permainan pada minit ke-14 menerusi jaringan Dickson Nwakaeme yang menanduk masuk bola sepakan percuma Azidan Sarudin.

Namun kegembiraan penyokong Tok Gajah tidak bertahan lama selepas penyerang import Johor DT dari Argentina Jorge Pereyra Diaz menjaringkan gol penyamaan di minit ke-30.

Gol itu seakan merentap semangat anak buah Zainal Abidin Hassan apabila giliran mereka pula ketinggalan selepas Luciano Figueroa menambah gol kedua Johor DT dengan menyempurnakan sepakan penalti susulan bola terkena tangan pemain pertahanan Pahang Razman Roslan dalam kotak penalti di minit ke-34.

Kontroversi tercetus pada minit ke-67 apabila pemain pertahanan Pahang Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah oleh pengadil Nagor Amir Noor Mohamed selepas mengasari Mohd Amri Yahyah.

Kehilangan seorang pemain membangkitkan semangat Tok Gajah apabila Nwakaeme menyamakan kedudukan pada minit ke-70 untuk kedudukan kembali terikat 2-2 dan kemudian mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan masih buntu mencari gol kemenangan dalam aksi tambahan 30 minit memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Pahang mengatasi Johor DT 5-3.

Gol Pahang dijaringkan Mohd Razman Roslan, Damion Stewart, Shahrizan Salleh, Zesh Rahman dan Hafiz Kamal.

Gol Johor DT dijaringkan Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Hariss Harun, manakala sepakan Norshahrul Idlan Talaha diselamatkan penjaga gol Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 12:16 AM