Rome: Polis Itali merampas lebih empat tan kokain bernilai AS$1.13 bilion (lebih RM4 bilion) dan menahan puluhan orang dipercayai anggota kumpulan mafia, lewat semalam.

Menurut satu kenyataan, mahkamah di Reggio Calabria mengeluarkan waran tangkap terhadap 34 orang, termasuk anggota kanan beberapa keluarga mafia Calabrian kerana terbabit dalam pengedaran dadah antarabangsa.

Polis Sepanyol juga sedang memburu empat orang yang terbabit dengan sindiket itu.

Agensi Penguatkuasa Dadah Amerika Syarikat DEA menyalurkan maklumat mengenai sumber bekalan dan penghantaran dadah berkenaan dari Afrika Selatan.

“Siasatan DEA mendapati beberapa pembekal dadah itu dilindungi pemerintah Tentera Revolusi Bersenjata Colombia (FARC),” kata kenyataan itu merujuk kepada gerila berhaluan kiri yang menentang kerajaan Colombia.

Mafia menggunakan bank pesisir untuk membayar harga dadah berkenaan yang dimasukkan ke dalam kontena, dihantar ke pelbagai pelabuhan, terutama Pelabuhan Gioia Tauro . - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 2:39 AM