Oleh Meor Riduwan MeorAhmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tourism Malaysia hari ini melancarkan kempen pelancongan domestik terbaru, 'Cuti-cuti 1Malaysia Dekat Je' bertujuan menggalakkan pelancong tempatan mengunjungi tempat menarik dalam negara pada hujung minggu.

Penggunaan bahasa Malaysia 'Dekat Je' diharap mengingatkan masyarakat tidak perlu pergi jauh untuk menikmati percutian hebat kerana negara ini kaya dengan tempat eksotik,budaya dan makanan menarik.

Pengerusi Tourism Malaysia yang baru, Wee Choo Keong berkata, percutian domestik menawarkan pelbagai pilihan mengikut bajet, sama ada mahu menginap lama di bandar raya besar atau percutian singkat di bandar berdekatan.

"Kempen ini bertujuan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ada banyak tempat boleh dilawati pada hujung minggu tanpa perlu mengambil cuti," katanya dalam ucapan ketika pelancaran kempen berkenaan di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Menurut Wee,sempena kempen itu juga pelancong digalakkan merakam aksi 'wefie' dan 'selfie' popular dan memuat naik ke media sosial untuk mempromosi percutian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 4:12 PM