MURAD (kiri) bersama Aquino (baju kuning) melihat senjata yang diserahkan oleh pejuang MILF.

Sultan Kudarat, Filipina: Presiden Filipina, Benigno Aquino semalam menggesa Kongres melulus satu rang undang-undang bagi memberi kuasa autonomi di wilayah selatan negara itu sebelum terlambat.

Gesaan itu dilihat sebagai satu usaha beliau untuk memulihkan semula rundingan damai dengan kumpulan pejuang pemisah Islam yang tertangguh sebelum ini.

Aquino membuat gesaan itu ketika majlis penyerahan sejumlah 75 senjata oleh Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (MILF) di sini semalam.

MILF pada Mac tahun lalu bersetuju meletakkan senjata sayap bersenjatanya dan menyerahkan kira-kira 15,000 senjata sebagai tukaran untuk kuasa politik, ekonomi serta kebudayaan di wilayah itu.

Bagaimanapun, rang undang-undang yang dikenali sebagai Undang-undang Asas Bangsamoro tergendala selepas pertempuran di Mindanao yang menyebabkan 44 anggota polis terbunuh pada Januari lalu.

“Saudara Moro kami sudah berjanji dan di hadapan ini adalah bukti kejujuran mereka,” kata Aquino dalam majlis berkenaan.

Senjata itu diserahkan kepada satu kumpulan pemantau bebas dan sebagai tukaran kerajaan memberikan sejumlah wang kepada 145 bekas pejuang MILF untuk memulakan kehidupan baru sebagai petani.

Pemimpin MILF, Murad Ebrahim menegaskan bahawa penyerahan senjata itu tidak bermakna kumpulan itu sudah lemah.

“Kami memulakan perjalanan panjang ke arah perubahan bukannya menyerah kalah,” tegasnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 9:10 AM